
Info : Berita Harian
Ya ALLAH,selamatkanlah sahabat-sahabat & saudara seISLAM kami di Mesir
Kumpulan tertentu bertindak larikan barang berharga KUALA LUMPUR: Bukan hanya bangunan kerajaan, malah blok kediaman menempatkan penuntut tajaan Yayasan Sabah di Kaherah, Mesir turut menjadi sasaran rusuhan di negara itu apabila nyaris diceroboh kumpulan tertentu yang cuba mengambil kesempatan melarikan pelbagai barangan berharga berikutan keadaan kucar kacir di sana.
Bagaimanapun, cubaan itu berjaya digagalkan sekumpulan jiran pelajar terbabit yang secara sukarela menjaga keselamatan blok kediaman Rumah Sabah sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.Yang Dipertua Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir, Azhar Jismil, berkata sebelum ini memang banyak kejadian pecah masuk dilaporkan di kawasan blok berkenaan hingga menyebabkan banyak kehilangan harta benda penduduk yang mendiami pangsapuri berkenaan. “Kami mengambil inisiatif mengadakan rondaan bersama dan kawalan keselamatan secara bergilir bersama penduduk setempat. Kami berterima kasih atas keprihatinan penduduk yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam. Seorang penuntut, Muhammad Iqbal Ariffin, berkata keadaan di Kaherah dan beberapa bandar utama lain makin meruncing, malah pasukan tentera mula mengambil alih pentadbiran sejak dua hari lalu dalam usaha mengembalikan kestabilan. Katanya, perintah berkurung dikuatkuasakan bermula jam 4 petang hingga 8 pagi sebagai langkah keselamatan, selain mengawal kemaraan penunjuk perasaan yang mengadakan protes sejak Selasa lalu menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur. “Keadaan semakin meruncing dengan kawalan keselamatan dipertingkatkan. Bunyi tembakan dan deruman kereta perisai serta helikopter tentera juga boleh kedengaran dari blok asrama hingga membuatkan kami sedikit panik kerana kebanyakan pelajar baru pertama kali berhadapan situasi begini. “Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan wakil kedutaan sentiasa memaklumkan perkembangan semasa. Kami turut diminta membawa dokumen peribadi sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk persediaan dipindahkan jika ketegangan terus meruncing,” katanya. Muhammad Iqbal yang tinggal di Wisma Seri Melaka, berkata walaupun bekalan terhad, ia masih mencukupi tetapi mereka terpaksa bersesak-sesak dengan rakyat tempatan kerana tempoh membeli hanya selepas perintah berkurung tamat. Yang Dipertua Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Khairul Ashraf Mohd Noor memaklumkan mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan hanya menunggu arahan kedutaan. “Memang sejak tercetusnya rusuhan, keadaan kawasan sekitar agak membimbangkan dan kami boleh mendengar bunyi tembakan dan kenderaan tertera berlegar-legar berhampiran kediaman, namun semuanya masih terkawal. “Kebanyakan laluan utama ditutup dan kami hanya berada di kediaman sepanjang perintah berkurung. Kami hanya keluar sebaik ia tamat bagi membeli barangan keperluan,” katanya.
0 Kalam Pujangga:
Post a Comment